Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 12 Mei. – Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Bagi Tahun 2026 telah diadakan hari ini bertempat di Bilik Mesyuarat West Wing, Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Mesyuarat dipengerusikan bersama oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd. Salleh; dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, selaku Pengerusi-pengerusi Bersama Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Bagi Tahun 2026.
Mesyuarat dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dikepalai oleh Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dalam ucapan mukadimahnya antara lain memaklumkan bahawa pelantikan Pengerusi-pengerusi Bersama serta penubuhan Jawatankuasa Kebangsaan adalah merupakan langkah awal persediaan dan penyelarasan bagi memastikan acara-acara sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang Ke-80 Tahun bagi Tahun 2026 dapat diungkayahkan dengan lebih teratur, lancar dan sempurna, khususnya daripada aspek keselamatan, kesejahteraan, kebersihan, keharmonian dan keselesaan raja yang dicintai serta semua lapisan masyarakat dan penduduk yang terlibat sama dalam musim perayaan nanti.
"Sesungguhnya, Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam merupakan keraian negara yang sangat istimewa dan sentiasa dinanti-nantikan oleh seluruh lapisan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.
"Penglibatan dan sokongan padu rakyat dalam sama-sama memeriahkan sambutan ini mencerminkan rasa kasih, taat setia dan syukur Kehadapan Majlis Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di samping memperkukuhkan perpaduan, keharmonian dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat," jelas Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri lagi.
Turut hadir pada mesyuarat berkenaan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Maharaja Diraja Dato Seri Paduka Awang Haji Abdul Wahab bin Haji Md. Said; dan wakil kepada Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar, selaku Penasihat-penasihat Bersama.
Juga hadir, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei; Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, Pemangku-pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, Pemangku-pemangku Pegawai Daerah, dan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang terdiri daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM Ke-80 bagi Tahun 2026.
Antara lain, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri telah mengongsikan tarikh-tarikh bagi acara-acara Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM Ke-80 bagi Tahun 2026 yang termasuk Upacara Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam (NBD); Majlis Doa Kesyukuran, Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah, Membaca Surah Yaa Siin dan Tahlil; Istiadat Barisan Kehormatan; Majlis Kesyukuran dan Penyampaian Cenderamata Kepada Anak-anak Damit Yang Lahir Pada 15 Julai 2026; Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Bagi Daerah-daerah; Majlis Khatam Al-Quran 80 Kali Khatam Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, Penuntut-penuntut Sekolah dan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Seluruh Negara; dan Upacara Penurunan Bendera Besar NBD.
Mesyuarat turut membincangkan laporan persediaan acara-acara Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM Ke-80 bagi Tahun 2026, iaitu perhiasan bandar : pemasangan 'Giant Banner', kain-kain rentang dan pintu-pintu gerbang; poster induk; poster pengibaran bendera; buku Yaa Siin dan buku Takhtim bagi Majlis Khatam Al-Quran 80 Kali Khatam Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, Penuntut-penuntut Sekolah dan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Seluruh Negara.